Pages

Sunday, May 15, 2011

Tips Keharmonian Rumah Tangga

1. Mendengar, menerima dan menunjukkan minat
Setiap individu mempunyai banyak cerita yang ingin dibualkan dan diberitahu. Begitu juga dalam hubungan antara suami isteri, pasti ada sahaja cerita yang ingin disampaikan sama ada berkaitan pejabat atau hal-hal di sekeliling. Cara ini secara tidak langsung dapat merapatkan lagi hubungan suami isteri. Melalui bercerita pasangan dapat menjadi seorang pendengar yang setia, dapat memberikan pendapat dan merupakan kaedah yang berkesan untuk meluahkan perasaan tertekan ketika di tempat bekerja. Sekaligus dapat mewujudkan sifat prihatin terhadap pasangan.

2. Berkasih sayang 
Kasih sayang merupakan aspek penting dalam hubungan suami isteri, malah perasaan sayang dapat melahirkan suasana harmoni dalam rumah tangga. Kasih sayang mungkin akan pudar sekiranya suami isteri tidak mengambil langkah untuk mengekalkan perasaan tersebut agar terus mekar di dalam hati masing-masing. Kasih sayang ibarat pokok yang berbuah jika tidak disiram dan dibajai pasti akan kering dan akhirnya layu gugur ke bumi, ia perlu disemai dari sehari ke sehari. Perasaan sayang tidak semestinya diluahkan dengan perkataan tetapi boleh dilakukan melalui sentuhan, belaian dan melakukan pelbagai aktiviti bersama seperti mengemas rumah, menonton televisyen dan beriadah.

3. Ambil berat
Sikap ambil berat terhadap pasangan dapat menjadikan hubungan suami isteri bertambah erat dan mesra. Mungkin dengan menelefon untuk bertanya khabar dan bertanya sama ada suami atau isteri, sudah atau belum makan juga dapat menjadikan kita seorang yang sangat prihatin dan mengambil berat. Selain itu, sokongan daripada pasangan juga amat penting sebagai perangsang sekiranya pasangan kita perlu melakukan sesuatu tugasan.

4. Menghargai perkahwinan
Cara yang terbaik untuk menghargai perkahwinan ialah dengan mengenangkan kembali detik-detik manis dan kemesraan yang wujud semasa awal perkahwinan. Mengingati saat-saat indah dan bahagia ketika bersama dapat mengurangkan tekanan. Memuji dan meluahkan perasaan bangga kepada pasangan membuatkan mereka rasa dihargai. Idea serta pandangan untuk menyelesaikan masalah pasangan kita dapat mengukuhkan lagi hubungan.

5. Saling memahami
Suami isteri perlu memahami antara satu sama lain dan menyelami hati pasangan masing-masing. Tunjukkan kepada pasangan anda bahawa anda benar-benar memahami dan merasai apa yang sedang dilalui oleh mereka. Melalui riak wajah seperti sedih, bimbang, marah dan sebagainya, memperlihatkan kita benar-benar prihatin terhadap pasangan kita. Selain itu, perkataan dan kata memujuk merupakan salah satu cara untuk menenangkan hati pasangan yang dilanda masalah.

6. Bersenda gurau
Bergurau senda seperti melawak dan menyakat boleh menghangatkan lagi hubungan suami isteri. Cara ini dapat mendekatkan kita kepada pasangan dan seterusnya hubungan akan bertambah intim. Suasana ceria dan gembira akan lahir ketika kita bergurau senda dengan pasangan kita. Berkongsi perasaan gembira dan menyatakan betapa kita bahagia ketika bersama pasangan akan menyemarakkan lagi hubungan.

7. Mendoakan pasangan
Doa merupakan cara yang paling mujarab untuk mengekalkan keharmonian rumahtangga. Setiap kali selepas sembahyang jangan lupa untuk mendoakan kebahagiaan rumah tangga dan doa supaya jodoh dengan pasangan akan berkekalan. Segala usaha yang dilakukan tidak akan lengkap tanpa berdoa kepada Maha Pencipta untuk mengekalkan keharmonian rumahtangga.

Kesimpulannya, apabila berlaku perselisihan faham antara suami dan isteri jalan yang paling mudah untuk menyelesaikannya ialah dengan meminta maaf dan memberikan kemaafan kepada pasangan. 

Ada ketikanya Allah s.w.t akan menguji hambanya dan apabila kita dapat menerima ujian dengan hati yang terbuka maka Allah datangkan pula kebahagian begitu juga dalam hubungan suami isteri pasti ada dugaan yang perlu ditempuh. Dugaan ini secara tidak langsung mengeratkan lagi hubungan suami isteri kerana mereka telah berjaya menyelesaikan segala masalah yang timbul bersama-sama. Oleh hal yang demikian, hargai dan bajailah kasih sayang dan sematkan dalam hati kita bahawa kebahagiaan dan keharmonian terletak pada tangan kita sendiri.







No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts

1996-1999

1996-1999

1999-2001

1999-2001

2002-2005

2002-2005

2006

2006

2007-2008

2007-2008

UPSI 2009-Sekarang

UPSI 2009-Sekarang